Mujahid & Mujahidah Ansarullah

Berhati-hatilah menjaga hati…kerana di situlah pandangan Ilahi.

Kepada sesiapa yang selalu mendengar ruangan motivasi pagi di IKIM, mungkin ada yang pernah dengar berkenaan tajuk ini. Saya begitu tertarik untuk berkongsi mutiara ilmu yang diperolehi dengan para pembaca sekalian. Saya tak dapat nak tulis semula seperti apa yg telah disampaikan oleh penyampai slot tersebut, cuma saya ingin memberi sedikit pandangan untuk dikongsi bersama.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ” Di dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi jika buruk dan kotor daging itu, maka buruklah seluruh anggota badannya.Daging yang dimaksudkan itu ialah hati” (Rw: Bukhari & Muslim)

Sebagaimana jasad perlukan makanan untuk mendapat tenaga, begitu jugalah dengan hati. Hati juga perlu mendapat santapan rohani agar ia sentiasa mengingati Allah, bermotivasi, tenang dan bersih dari bintik2 hitam dan noda. Kita juga perlu menggilap hati agar ia menjadi cekal, tabah, berani dan redha.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.”
(Q.S. al-Syura ayat 88-89)

Sebagai manusia biasa, kita inginkan kehidupan yg sempurna dan bahagia. Tetapi hakikatnya tidak semua yg kita impikan akan kita perolehi. Apabila Allah tidak mengizinkan apa yg kita kehendaki itu berlaku, kita mestilah bersabar dan redha dengan ketentuan Allah. Dan kita mesti ingat bahawa setiap apa yg berlaku pasti ada hikmah yg tersembunyi. Nasihat utk diri saya juga yg sering alpa dan lalai. Yang sering merasa resah dan hati tidak tenang. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita utk mendidik hati menjadi baik… InsyaAllah.

Memaafkan orang lain adalah memaafkan diri sendiri

Sidang pembaca yg dihormati sekalian, seringkali kita mendengar ungkapan maaf dilontarkan sekiranya seseorang telah melakukan kesalahan sama ada kesalahn kecil mahupun besar. Tetapi adakah kita mudah memaafkan orang atau sebaliknya?

Mengikut kajian oleh pakar psikologi, di rumah orang sakit jiwa adalah mereka yang terdiri dari kalangan orang yang bakhil. Bakhil yg dimaksudkan di sini ialah bukan kedekut memberi harta atau pertolongan kepada orang lain tetapi mereka yang enggan memberi maaf. Mereka keras hati dan sangat ego untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Ada yang sanggup mengatakan “Aku takkan maafkan kau sampai mati”..Orang yang sebegini sebenarnya merasakan diri mereka lebih besar dan tinggi diri. Sedangkan manusia itu hanyalah hamba dan Allah lah yang lebih berkuasa dari sekalian makhluk.

Orang yang sukar memaafkan org lain sebenarnya mereka hanya akan memudharatkan diri mereka sendiri kerana mereka hanya menyimpan dendam yang tak berkesudahan. Jika kita memberi maaf, dengan mudahnya perasaan marah itu akan padam. Kita harus ingat, sedangkan Allah Yang Maha Bekuasa itu pun masih boleh mengampuni dosa hamba-hambaNya, apatah lagi kita hanya manusia yang lemah dan hina ini.

Sekeras mana hati kita, perlulah difikir dengan rasioanal dan akal yang waras untuk membuat pertimbangan. Mungkin agak perit bila mengenangkan kesalahan yg dilakukan oleh sahabat/ suami/ isteri kita, namun jika mereka telah meminta maaf, maka maafkanlah.

Sesungguhnya memberi maaf itu satu sifat yang terpuji lagi mulia. Walaupun orang yang melakukan kesalahan tidak meminta maaf kepada kita, alangkah eloknya jika kita memaafkannya lebih dulu.

Orang yang suka memendam kemarahan dan dendam akan mengalami tekanan perasaan yang amat serius. Mereka seolah-olah menyimpan bahan bakar dalam diri mereka yang boleh meletus bila-bila masa. Bayangkan jika kemarahan itu telah mencapai kemuncaknya, mungkin mereka akan melakukan tindakan yang tidak terkawal lagi seperti membunuh, atau mencederakan orang lain tanpa mengira sesiapa sahaja. Malah mereka juga akan bertindak membunuh diri sendiri.

Nauzubillahiminzaalik..mudah-mudahan kita dijauhi daripada sifat yang sedemikian.

Sama-samalah kita menanamkan sifat mudah memberi maaf agar kita juga memaafkan diri kita sendiri. Amalkan sebelum tidur, kita maafkan semua orang agar orang lain juga mudah memafkan kita. Erti bahagia itu dengan memberi..maka Memberilah..walau pun sekadar “memberi maaf”

Sekian, wassalam

Petikan dari motivasi pagi IKIM

Derhaka Dalam Taat

Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud ‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan ‘derhaka dalam taat’.

Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.

Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)

Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:

1. Amal Yang Tidak Sempurna

Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.

Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari tetapi derhaka di siang hari.

2. Cuai Dengan Amalan Batin

Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan  batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.

Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan; Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.

Seorang manusia yang telah selesai melalkukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.

Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.” (An-Nisa’: 173)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).

Petikan dari Solusi

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum dan Salam kasih sayang buat pengunjung sekalian. Sama-sama kita panjatkan kesyukuran kpd Allah swt atas segala kurniaan Nya kepada kita. Selawat dan Salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah atas kesempatan waktu yang dikurniakan. Rasanya belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh Malaysia.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada guru-guru yang telah mendidik saya di Tadika Lubuk Merbau, Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau, Sekolah Menengah Lubuk Merbau, Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Kolej MARA Kulim dan juga pensyarah2 yang dihormati di Universiti Malaysia Pahang.  Semoga Allah sahaja yang layak membalas segala jasa baik kalian.

Hanya doa yang dapat kupanjatkan buatmu guru, semoga Allah ampunkan segala dosa guruku dan semoga Allah merahmatimu wahai guru.

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah buat semua tetamu ziarah yang setia berkunjung ke blog saya.

Sempena Hari Ibu ini saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala pengorbanan dan jasa ibu saya PUAN SHAMSIAH BT ABDULLAH, yang telah membesarkan saya dan mendidik saya dengan ilmu dunia dan akhirat.

Semoga Allah sahaja yang dapat membalas segala kebaikan ibu.

Kepada sahabat2 saya yang baru menimang cahaya mata pada tahun ini, saya doakan kalian semoga menjadi ibu mithali..

Teringat lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Ae-man

Ibu..bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biar pun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat kubalasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan memberkati
Kehidupanmu ibu

Ibu..kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak Syurgaku

Tabahnya kau melayani kenakalan anakmu
Mengajar ku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Ibu..dengarlah rintih hatiku
Untukmu ibu…

Kasihanilah Tuhan
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu di dunia
Dan di akhirat sana…

Bismillahirrahmaanirrahim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Mari sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah swt atas nikmat kehidupan yang Allah kurniakan ini. Hingga saat ini kita masih bernafas di dunia pinjaman Allah yang sementara. Kita masih diizinkan oleh Nya untuk membuat segala perkara yang kita mahu, sedangkan mereka yang telah dijemput pergi menghadap Nya tidak lagi berpeluang kembali ke dunia ini. Segala harta benda, keluarga dan anak isteri/suami telah ditinggalkan, hanya amalan yang dibawa. Sehingga saat ini sudah banyakkah amal kebaikan yang kita kerjakan? Ikhlaskah kita dalam beribadah kepada Nya? Saya juga mengingatkan diri saya sendiri kerana terlalu sedikit kebaikan yang dilakukan. Entahkan ada nilai disisi Nya atau tidak. Wallahua’lam..

Pagi Isnin yang lalu..2 Mei 2010, saya dikejutkan dengan berita pemergian sahabat seperjuangan semasa di UMP. Mohd Syafiq Masduki..suami kepada sahabat saya kak Syakirah. Walaupun saya bukan kawan rapat atau rakan sekelasnya, namun saya pernah bekerja dengan Allahyarham bersama-sama sahabat yang lain dalam satu jalan dakwah. Allahyarham sangat bersungguh-sungguh dengan kerjanya. Mudah-mudahan segala amal Allahyarham diterima Allah.

Sesungguhnya kematian itu pasti sebagaimana firman Allah SWT: “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (al-munafiqun: 11)

Sama-samalah kita doakan semoga keluarganya diberi semangat dan kekuatan utk meneruskan kehidupan ini. Dan mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkannya di kalangan para solehin…amin.

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah buat semua tetamu dan pembaca setia blog ini. Ada satu kisah yg ingin saya kongsikan dgn pembaca semua. Semoga dapat menjadi iktibar kpd kita semua terutama yg bergelar ibu…

“IBU MITHALI”

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat “Ibu Mithali”. Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

“Sekarang …,” suara pengacara majlis bergema kembali, “Tibalah kita kepada penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. ”

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

‘Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.’

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

“Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini.”

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

“Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya”

“Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga “Ibu Mithali” yang baru menerima anugerah sebentar tadi.”

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.


“Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!” suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

“Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak.”

“Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abang-abang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun.”

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

“Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka.”

“Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri.”

“Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?” Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

“Tapi, mak tak adil!” Saya kerap membentak. “Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!”

“Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!” Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. “Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka.”

“Mereka cacat apa, mak?” Saya membeliakkan mata kepada mak. “Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!”

“Mirah … Mirah belum faham, sayang.” Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

“Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya.”

“Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak.” Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
“Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi.”

“Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan.” Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

“Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya.”

“Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka.”

Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

“Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. ”

“Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan.”

“Ibu!” Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. “Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak.”

“Mirah!” Ibu merangkul saya. ” Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah.”

“Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami.”

“Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain.”

“Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?”

“Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah.”

“Mak adu semua kepada ibu, Ya?” Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

“Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak.”

“Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu.”

“Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak.”

“Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu.”

“Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah.”

“Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu.”

“Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru.” “Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. ”

“Mirah,” panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. “Mirah.”

“Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur.”

“Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. “Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah”

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.

“Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak.”

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

“Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. ..”

“Mak!” Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

“Kenapa Mirah tolak tawaran itu?”

“Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?”

“Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! ”

“Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?”

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

“Mak, ayah.” Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

“Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. ”

“Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang.” Mak masih meragui keupayaan saya.

“Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti,” balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.

Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

“Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. ”

“Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya.”

“Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah.”

“Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?” suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, “Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?”

“Mirah bukan anak kandung kita.” Mak meningkah. “Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya.”

“Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak.”

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah “Ibu Misali” dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak “Ibu Misali” yang lain.

“Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah.”

“Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan “Ibu Misali” pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan.”

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental.”

“Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak.”

Sumber:www.iluvislam.com

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur kepada Allah atas nikmat kehidupan dan kesihatan yang dianugerahkanNya buat diriku dan keluarga. Lamanya tak menaip di blog ni..ada cerita nak dikongsi tapi umi lebih suka pendamkan saja..mungkin disebabkan umi sangat suka berahsia..sampai nak tulis apa pun tanak…takut orang tahu…baik tak payah buat blog kan…hehe. teruk!

Semalam umi wat test utk Pegawai Perkhidmatan Awam..Gred 41. punya la ramai yang nak ambil test sampai nak parking pun susah. Nasib baik umi dapat kat Insaniah je..kalu kat penang lagi susah kan..hee. Pusing punya pusing dapat la jugak parking dekat kedai-kedai di sekitar Insaniah tu. Mula jam 9.20 pagi habis jam 4.50 petang. Kebas jugak dibuatnya duduk dalam dewan tu lama-lama.huhu

Lepas jawab ujian baru tahu rupanya pengetahuan am umi sangatlah lemah..adeh..hancuss rasenye jawapan semua tak betul..huhu. Dah la umi tak minat sejarah..hehe. Susah jugak macam ni..kena blajar sejarah balik la nampaknye..Alhamdulillah soalan matematik boleh la jawab jugak. Bab sahsiah dan minat plk soalan sampai 200 lebih. Kalut menanda kertas jawapan nak bg cepat siap..hee

Time balik terserempak plak ngan abah si Humaira ngan geng bola sepaknya yang baru balik dari SAIF. Dengan kelajuan 60km/j masa tu bolehlah diorang potong umi..lepas tu umi pecut 110km/j potong diorang balik..hehe. Umi teringat humaira je, sape la yg tgh jaga dia masa umi takde.

Petang-petang tok la yang jaga cucu kesayangannya tu. Bawa tengok ayam, itik, kambing, lembu…humaira suka sangat dengar bunyi ayam berkokok. Teruja betul dia..hee.  Humaira sekarang dah cuba merangkak setapak dua ke depan. Nak tergelak tengok gelagat dia yang macam boleh duduk tu..tapi kejap-kejap terbalik..hihi. Takde pulak gambar humaira merangkak..handphone umi rosak, tak leh nak ambil gambar da..huhu

Next time umi post gambar kat sini..boleh la humaira tengok bile da besar nanti..hehe

LEBIH BAIK DIAM

Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam , kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.

Nabi SAW bersabda : “Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai.”
(Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik,baginda menjawab : “Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan,tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan sama ada kerana usia atau pangkat. Anas r.a , pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: “Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh “ Ah!” terhadapku dan belum pernah beliau menegur ,kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini? ”
(Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW : “Seorang Mukmin bukanlah pengumpat ,yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor”
(Riwayat Bukhari)

“Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya”.
(Riwayat Abu Naim)

Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik ‘diam’, usah gusar di label ‘budak yang pendiam’.

Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina,
yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.

Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah ini tidak meletihkan,

Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?

Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,

Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,

Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,

Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan,

Itulah yang dikatakan oleh pepatah Melayu,

“Diam-diam ubi berisi”

atau
“Diam-diam tong kosong”

atau
“diam-diam tong berisi sampah penuh kotoran ?”

HIKMAH BERDIAM DIRI
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita tersiksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh karena itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik,
karena kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak bicara.
HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirahat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Rasullulah bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

“Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya”. (Riwayat At-Tarmizi)

Menasihati orang yang bersalah , tidak salah.
Yang salah
memikirkan kesalahan orang.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berbicara kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

dipetik dari: http://www.iluvislam.com

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,

“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur’an dan sunnahku.Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.
Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

“Rasulullah akan meninggalkan kita semua,”keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.
Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.
Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya.
Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
“Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,
“Siapakah itu wahai anakku?”
“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan Kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?”
Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.
Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. ”
Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”
“Jangan khawatir, wahai Rasul Allah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

“Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.”

Perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?”
Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummatii, ummatii, ummatiii?” – “Umatku, umatku, umatku”

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita…

petikan artikel:ukhwah.com

Top Clicks

  • None

Jumlah Pengunjung

  • 234,276 kunjungan

RSS Saifulislam.Com

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Dr. Hasanah

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.