Mujahid & Mujahidah Ansarullah

Archive for the ‘Baitul Muslim’ Category

Cara menyambut kelahiran anak dalam Islam

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.

1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.

Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa’ dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

Maksudnya : “Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.

Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi’ r.a. Rasulullah bersabda : Maksudnya : “Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a.” Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.

Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

4. Membaca Surah Al-Insyirah di Jari Manis Dan Ditahnikkan.

Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :
Maksudnya : “Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan) “. Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.

5. Memberi Nama yang Baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya. Rasulullah s.a.w. bersabda : Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu”. Riwayat Abu Daud Membaca Doa ketika memberikan nama anak. Maksudnya : “Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

6. Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu’akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh. Rasulullah s.a.w. bersabda : Maksudnya : “Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”. Riwayat abu Daud.

Advertisements

Kisah Puteri Rasulullah s.a.w. yang bernama Siti Fatimah r.a. Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s.a.w.Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r.ha., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain. Namun jauh di sanubari Rasulullah s.a.w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.” (Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan.

Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata-kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak,memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. “Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.
Di Padang Pasir
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, “Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu.”

Dalam nada sayu Fatimah berkata, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?”

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti,sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata yang masyhur, “Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat.” Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, “Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?”
Tentu sekali ya Rasulullah,” jawab Siti Fatimah kegirangan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ‘Subhanallah’ sepuluh kali, ‘Alhamdulillah’ sepuluh kali dan ‘Allahu Akbar’ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’ ini sebanyak tiga puluh tiga kali.”
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.

Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya.

CIRI-CIRI ISTERI YANG BAIK MENURUT ISLAM

Isteri yang  baik secara total akan mudah membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir.

Kita sedar dan faham rumahtangga yang bahagia lahir dari isteri yang solehah, tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna. Dan wanita adalah penentu buruk baik sesebuah masyarakat.Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia.

Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t. sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.

Dari sifat asal dengan kehalusan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal agar kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang solehah, sudah pasti berhasil.

Rumahtangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri akhlakul karimah perlulah memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan pembetukan rumahtangga yang bahagia. Tanggungjawab ini perlulah benar-benar difahami, dihayati dan dilaksanakan agar cita-cita untuk melahirkan rumahtangga bahagia berhasil.

1. Taat dan kasih kepada Allah dan Rasul

Ketaatan kepada Allah akan jelas dilihat dari segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan dipatuhi dengan sesungguhnya. Perintah dan larangan ini tergambar dengan jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulullah S A. W. Ketaatan yang tidak berbelah bahagi dengan sendirinya akan melahirkan perasaan kasih kepadanya.

Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang ertinya. “Katakan: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh, perniagaan yang kamu khuatiri akan rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Jelaslah kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah s.w.t.akan melahirkan kasih dan cinta yang tidak ternilai di sisi manusia.Ketaatan dan cinta kepada Allah ini bukanlah mudah diperoleh sekirannya persiapan ke arah itu disambil lalukan.

Pendidikan jiwa supaya beriman sesungguhnya kepada Allah dan Rasul-Nya, perlulah dididik sejak awal . Didikan ini akan menjadi benteng dan memahami akan batas-batas yang dilarang dan dibolehkan dalam agama. Keimanan yang kukuh, perbuatan yang soleh dan mengikuti ketetapan yang ditentukan dengan sendirinya secara mudah akan dapat melawan hawa nafsu lahiriah dan bathiniah.

” Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat kamu menghitungnya.,” An-Nahl ayat 18. Dari rasa kenikmatan yang diberikan oleh-Nya yang tidak terkira akan memahami betapa hamba sangat-sangat memerlukan pada Khaliknya. Sifat ihsan dengan sendiri mengongkong diri insan; kerana sifat wanita biasanya tidak akan puas dengan panorama duniawi.

gambar-ibu

2. Akhlak mulia dan sempurna sebelum kecantikan

Kita fahami bahawa Allah tidak memandang paras rupa (kecantikan) seseorang tetapi akhlak yang mulia menjadi nilaian yang kukuh disisiNya. Akhlak mulia dan sempurna menjadi pakaian yang kekal manakala kecantikan akan luntur dimakan atau dimamah usia. Tetapi sekiranya kecantikan ini dapat dipadukan dengan akhlak yang mulia sudah tentu menjadi pilihan utama setiap insan.

Untuk melahirkan wanita yang berakhlak baik perlulah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai yang begitu rupa agar meninggikan taraf kamanusiaan dan sekaligus membezakannya dengan sifat kehaiwanan.

Isteri yang berakhlak mulia dengan mudah dapat memahami akan bentuk-bentuk pakaian yang harus dikenakan pada tubuhnya dalam keadaan tertentu; dapat mengawal perkataan-perkataan yang maaruf ketika berbicara dan mengetahui akan batas-batas bergaul sesama rakan, suami, keluarga dan juga saudara-mara yang lainnya.

Di samping itu segala tindakannya mempunyai perbezaan dengan wanita yang tidak solehah. Ia tidak gemar membeli tanpa izin suaminya, apatah lagi penjualan dengan cara berhutang sebagaimana kaedah sistem jual beli yang berleluasa sekarang. Ia lebih mirip kepada kemaksiatan daripada yang maaruf.

Juga tidak bertindak menggunakan harta dan wang suami tanpa izinnya. Sekiranya tidak mencukupi maka ambillah secara yang maaruf sebagaimana yang dilakukan oleh isteri Abu Sufian; Rasulullah menasihatkan agar mengambil dengan maaruf dan yang diperlukan sahaja. Isteri yang solehah juga akan mudah mengawal dan menjaga harta benda suami ketika ketiadaannya.

3. Memperdulikan kewajipan rumahtangga dan berusaha memperbaikinya.

Wanita yang telah dididik sejak awal dengan akhlak yang mulia secara matang mengetahui akan persiapan berumahtangga dan memahami kewajipannya dan memperbaikinya dari semasa ke semasa dengan patuh dari tunjuk ajar suaminya.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Ibnu Abbas r.a yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, “Mahukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang solehah. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya.”

Dari hadith di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbagi-bagi asalkan yang diredhai Allah s.w.t dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.

Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah s.w.t dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga. Dan sekaligus seolah-olah menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya dan mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.

Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak serta lain-lain tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang solehah merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mahu tangan orang lain mengendong anaknya ketika hendak tidur; tidak mahu tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya dan memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata.

Isteri yang solehah sungguh cekap dan teratur melayani suaminya menjaga dan mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga, mengemas tempat tinggal dengan rapi dan lainnya. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya.

Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam.

4. Malu dan taat

Sifat malu memang lumrah bagi seorang wanita.Malu seorang isteri adalah hormat dan taat yang sebenarnya kepada suaminya, selagi suaminya taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Isteri akan diam saat suami berbicara, membenarkan kata-katanya dan menghormati segala pesanannya. Bermuzakarah boleh juga diadakan tetapi  perlu dikawal oleh akal kerana wanita itu berakal pendek walaupun mempunyai rambut yang panjang. Perbincangan yang mengikuti nafsu syaitan dan sikap memberontak, menangan dan menghentak-hentak kaki yang akhirnya akan memporak-porandakan rumahtangga.

Hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah mengatakan. “Ketahuilah dan hendaklah kamu berpesan-pesan kepada kaum wanita dengan baik-baik, kerana sesungguhnya mereka itu tawanan bagi kamu, tidak ada kekuasaan sedikit pun bagimu dari mereka itu selain yang demikian itu, kecuali jika mereka itu
mendatangi
atau mengerjakan sesuatu kederhakaan yang nyata. Maka jika mereka berlaku curang, berbuat derhaka, hendaklah kamu tinggalkan tempat tidurnya dan berilah pukulan yang tidak menyakitkan. Kemudian bila mereka taat dan patuh kepadamu, janganlah kamu cari jalan yang bukan-bukan untuk berbuat tidak senonoh kepada mereka. Ketahuilah, sesungguhnya bagi kamu ada suatu kewajipan atas isteri-isterimu, dan isteri-isterimu ada kewajipan ke atas kamu pula. Adapun kewajipanmu (suami) atas isteri-isterimu ialah bahawa mereka itu janganlah
menginjakkan tempat tidurmu dengan orang yang tidak kamu sukai, dan
mereka janganlah memperkenankan orang-orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumahmu; dan kewajipan mereka (isteri) atas kamu ialah bahawa kamu hendaklah berbuat baik atas mereka itu dalam urusan pakaian dan makanan mereka.”

Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai terjadi yang tidak sesuai dengan kewanitaannya dan dilarang oleh agama.

Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.

5. Mulia dan menghormati  suami dan kerabatnya

Bermula selepas ijab & qabul, tugas dan tanggungjawab ibu bapa selama ini berpindah secara automatik ke bahu suami sepenuhnya. Dan sebagai seorang isteri, suamilah tempat ia bergantung kasih sayang.

Kerana itu tidak syak lagi seorang isteri itu menghormati (adik-kakak) suami, saudara-saudara dan kerabatnya menurut batas yang tertentu. Dan hubungan dan pertaliannya mempunyai had dan batas yang dibolehkan di dalam Islam.

Kedatangan mereka terutama ibu bapanya perlulah disanjung dan hubungan ini perlu dititik-beratkan. Ada di kalangan keluarga Islam, perhubungan antara suami dan ibu bapanya renggang disebabkan oleh sikap isteri yang tidak menyenangkan orang tua suami.

Kadangkala isteri itu meminta barang-barang keperluan yang tidak dimampui oleh si suami hingga menyebabkan keluarganya akan juga menjadi puncak perpecahan antara suami isteri dan kaum keluarganya. Memuliakan dan menghormati suami dan kaum kerabatnya merupakan satu tanggungjawab isteri yang baik.

Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.

Adab-Adab Berhadapan Dengan Suami
www.iLuvislam.com

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.


3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.


4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam).

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

Firman Allah S.W.T.

“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”

(Yaasin: 36)

Jika kita perhatikan kejadian di langit dan di bumi, jelas menampakkan kebenaran ayat ini. Setiap yang kita saksikan ada pasangannya. Keadaan tanah di bumi, tidak sama rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau. Di kawasan yang lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan. Pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Kemudian Allah jadikan pula malam berpasangan dengan siang meliputi alam ini. Binatang-binatang yang hidup di daratan dan di lautan juga berpasangan jantan dan betinanya. Demikian pula manusia. Atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan.

animal-007

Jika kita bertanya apakah hikmat Allah S.W.T. menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian ini dalam keadaan berpasangan? Kita sudah tentu dapat memahaminya dengan mudah. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaan alam ini sekiranya ia sentiasa dalam keadaan malam, bumi berkeadaan pamah, semuanya berpadang pasir Manusia semuanya lelaki atau semuanya perempuan. Keadaan dunia seperti ini tentu membosankan dan kejadian ini tidak melahirkan keturunan. Manusia akan hapus dalam jangka waktu yang singkat. Dengan adanya pasangan, dunia kelihatan indah dan sesungguhnya kejadian Allah S.W.T. ini sangat indah.

Lelaki Dan Perempuan Dalam Kejadian Manusia

Dengan memberikan sedikit peihatian kepada kejadian alam ini, anda pasti mengerti mengapa anda dijadikan lelaki atau perempuan. Kedua-duanya dari acuan yang sama iaitu manusia yang dibentuk dari unsur-unsur kemanusiaan. Tetapi yang satunya berwatak keras dan yang satu lagi lemah gemalai. Gerak langkah melambangkan kekuatan dan gerak langkah wanita melambangkan keindahan. Sifat-sifat tersendiri yang ada pada lelaki dan wanita itu menunjukkan bahawa kekuatan lelaki dijadikan sebagai pelindung kecantikan wanita.

Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.WT. berfirman:

“Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. “

(ar-Ruum:21)

Kejadian berpasangan juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia.Allah S.WT. berfirman:

“Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan… “

(An-Nisa’:1)

Dengan keterangan di atas jelas sekali hikmatullah menjadikan manusia dari lelaki dan wanita, pertama untuk memperindahkan kehidupan manusia itu sendiri. Kedua untuk mengekalkan keturunan manusia di dalam jangka waktu yang panjang sehingga Allah S.W.T. menentukan berakhirnya sejarah manusia di bumi ini. Ini semuanya adalah rahmat Allah S.WT. kepada manusia yang diamanahkan untuk mengendalikan urusan di bumi sebagai khalifah-Nya.

Mengapa Berkahwin

Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan. Dalam perkahwinan, ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Sebaliknya jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram.

Membentuk Keluarga

Peraturan yang ditetapkan itu, menentukan pembentukan keluarga di dalam satu institusi masyarakat yang dinamakan rumahtangga. Rumahtangga adalah tahap pertama pembentukan masyarakat. Sebagaimana masyarakat yang besar memerlukan penyusunan yang rapi, begitulah juga masyarakat rumahtangga memerlukan penyusunan. Pembentukan rumahtangga secara bersekedudukan bebas tanpa perkahwinan dan perlindungan undang-undang melambangkan suatu pembentukan rumahtangga yang tidak tersusun. Ia akan berkembang menjadi belukar dan hutan belantara yang hidup di dalamnya binatang-binatang buas. Hak-hak suami isteri tidak dapat dibela dan diberi keadilan di dalam kehidupan seumpama ini.

Sebaliknya, rumahtangga yang dibentuk menerusi perkahwinan yang tertakluk kepada peraturan-peraturan tertentu yang lengkap dan sempurna, akan menjadi seperti pohon-pohon yang ditanam secara tersusun. Jika pohon-pohon ini terus dipelihara, ia kekal menjadi taman indah yang menyegarkan kehidupan. Demikianlah halnya sebuah rumahtangga yang diikat dengan perkahwinan akan menjadi tempat yang paling indah dalam kehidupan dan kebisingan anak-anak menjadi seperti siulan burung-burung di taman yang indah.

Rumahtangga Sebagai Masyarakat Kecil

Mendirikan rumahtangga dalam Islam bukan urusan individu seperti yang difahami dalam kehidupan bangsa lain terutama bangsa Barat. Rumahtangga dalam Islam merupakan bahagian penting masyarakat dan masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam pembentukannya.

Falsafah Perkahwinan Dalam Islam

Oleh kerana perkahwinan adalah perkembangan daripada keluarga yang sedia ada dan hubungan antara keluarga baru dan yang sedia ada wajib diperteguhkan dan oleh kerana keluarga baru itu sebahagian daripada masyarakat yang boleh mempengaruhi keadaan baik buruk masyarakat, maka perkahwinan yang tidak menghormati masyarakat, seperti kahwin lari, tangkap basah dan lain-lain, sangat dikeji oleh Islam, melainkan di dalam keadaan-keadaan tertentu, di mana pemerintah boleh menggantikan tempat sebagai wali bagi menggantikan wali daripada keluarga si isteri.

Prinsip Pembentukan Keluarga Islam

Sebagai Nizamul Hayah (peraturan hidup) yang syamil (lengkap) dan sempurna, yang merangkumi pembentukan masyarakat yang sejahtera, Islam telah menetapkan peraturan peraturan perkahwinan dan perjalanan keluarga dengan sempurna. Peraturan ini tidak hanya berbentuk undang-undang tetapi juga menerusi pembentukan rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak yang dibina menerusi kesedaran beragama yang dipupuk menerusi pendidikan. Kesempurnaan undang-undang yang mengawal perjalanan keluarga tidak mencukupi bagi menjamin ketenteraman keluarga itu. Keluarga mesti disusun dan dikawal oleh rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak Islamiyyah. Rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak itu hanya akan berkembang subur di kalangan orang-orang yang mempunyai kesedaran keagamaan. Kesedaran keagamaan yang terpenting ialah apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah S.WT. dan takut kepada-Nya. Kesedaran ini merupakan kawalan berkesan untuk seseorang mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Tanpa kesedaran ini peraturan yang sempurna tidak memberi banyak kesan, kerana orang yang tidak dapat mengawal dirinya dengan kesedarannya terhadap wujudnya Allah S.W.T. dan takut kepada-Nya, akan dengan mudah melanggar undang-undang dan peraturan itu. Apabila undang-undang tidak dihormati, ia tidak bermakna lagi walau bagaimana sempurna pun undang-undang itu.

Dalam menyusun keluarga yang tenteram dan sejahtera, Islam berpandu kepada dua prinsip.

1. Didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama (di dalamnya disuburkan perasaan taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, belas kasihan, bertimbang rasa dan lain-lain)

2. Undang-undang dan peraturan yang menentukan kewajipan, hubungan antara suami isteri, kewaiipan terhadap anak-anak, nafkah, peraturan jika berlaku perselisihan dan penceraian dan sebagainya.

Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya tidak sangat memenuhi kehendak-kehendak Islam. Selain daripada kurangnya asas-asas keagamaan, pasangan suami isteri pula jahil tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara mereka, dan tanggungjawab keduanya terhadap anak-anak.

Peraturan Mencari jodoh

Sebelum sesebuah keluarga dibentuk, Islam telah menetapkan terlebih dahulu pertimbangan dalam mencari pasangan dengan tujuan menjamin kesejahteraan. Rasulullah S.A.W. melarang kecantikan dan kekayaan menjadi ukuran penting di dalam memilih isteri, tetapi hendaklah memilih yang berpegang kepada agama. Sabda baginda yang bermaksud:

“Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik.

(Diriwayatkan oleh Ibn Majah).

Begitu juga bagi seorang wanita, janganlah menjadikan pangkat dan harta sebagai pertimbangan asasi di dalam memilih suami, kerana pangkat dan harta tanpa akhlak dan agama menjadi punca fitnah yang akan merosakkan kehidupan rumahtangga.

Keturunan Dan Kufu’

Salah satu asas pertimbangan, selain daripada keagamaan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, ialah keturunan bakal isteri itu. Aspek yang penting yang hendak ditinjau ialah dari segi kesihatan dan keadaan hidup keluarga. Dari segi kesihatan, perlu dikaji sama ada bakal isteri dan suami mempunyai keluarga yang mempunyai penyakit keturunan. Ini tidak bermakna wanita yang mempunyai keluarga yang beipenyakit tidak boleh dikahwini dan dipandang hina. Bahkan apa yang dimaksudkan di sini ialah ketelitian di dalam membentuk keluarga yang mahu mencapai peringkat yang ideal.

Demikian juga perlu ditinjau aspek keadaan hidup keluarga bakal isteri, sama ada berpegang teguh kepada agama dan akhlak atau tidak. Keadaan dan suasana rumahtangga ibu bapa, sudah tentu mempengaruhi kehidupan anaknya. Sekiranya bakal suami isteri itu daripada keluarga yang tidak menghormati agama dan akhlak, sudah tentu sukar untuk membentuk suasana yang sesuai dengan kehendak Islam dalam keluarga tersebut.

Satu masalah lagi yang menjadi tanda tanya ialah perkahwinan sekufu’ atau setaraf. Adakah Islam mengakui suami isteri itu bertaraf-taraf. Jawapannya ya. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentulah tidak sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama. Manusia yang jahat pun, dari sudut peri kemanusiaan, perlu diberi pertolongan dan dihormati sebagai manusia. Dari semua perbezaan hidup dan nilai-nilai hidup manusia, tidak ada yang lebih mulia daripada insan yang bertakwa. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan apabila Islam mengakui darjat-darjat hidup manusia. .

Perkahwinan kufu’ ialah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Memang ada aliran hukum di dalam perundangan Islam yang tidak melihat perkara ini sebagai penting. Mereka memandang tidak penting yang kaya berkahwin dengan yang miskin, yang berpangkat berkahwin dengan yang tidak berpangkat. Aliran ini melihat dari aspek kemanusiaan semata-mata, yakni Allah S.W.T. menjadikan manusia sama sahaja. Tetapi satu aliran hukum lagi dalam perundangan Islam iaitu aliran al-Syafiyyah, memandang perbezaan taraf hidup sama ada dari segi kekayaan, ilmu, akhlak dan lain-lain mempunyai pengaruh dalam menentukan kehidupan rumahtangga, kerana realiti kehidupan seperti ini tidak boleh diperkecilkan. Seorang perempuan kaya yang sudah biasa dengan kehidupan mewah, sudah tentu menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru yang disediakan oleh suaminya yang miskin. Kesukaran ini boleh menimbulkan masalah yang rumit. Demikian juga seorang suami yang warak berkahwin dengan isteri yang suka berpoya-poya, sudah tentu akan menimbulkan masalah yang melibatkan hubungan suami isteri itu. Inilah realiti kehidupan alam perkahwinan yang perlu mendapat perhatian perundangan dan dari sinilah timbuinya masalah kahwin sekufu’.

Aliran perundangan al-Syafiyyah, memberi hak kepada wali untuk melarang anak perempuan berkahwin dengan orang yang tidak sekufu’ dengannya untuk mengelak daripada masalah ini dan untuk kepentingan hidup anaknya. Demikian juga aliran ini memberi hak kepada anak perempuan membantah wali mengahwinkah dirinya dengan orang yang tidak sekufu’ dengannya, demi untuk menjaga kepentingan diri dan kehidupannya di masa hadapan.

Keharusan Berpoligami

Di antara persoalan yang meniinbulkan masalah paling kontroversi dalam urusan perkahwinan umat Islam ialah keharusan berpoligami. Ia dijadikan bahan oleh setengah golongan untuk mengecam Islam dan ramai wanita yang tidak puas hati dengan pelaksanaannya.

Bagi menghuraikan masalah ini, terlebih dahulu mestilah difahami apakah yang dimaksudkan dengan keharusan itu. Dari segi perundangan, harus bererti sesuatu yang tidak diseksa dan tidak diberi pahala kepada orang yang melakukannya. Ertinya, ia tidak mempunyai obligasi dari segi hukum. Tetapi, keharusan berpoligami ini dari segi pelaksanaannya bukan sahaja tunduk kepada hukum ini. Ia juga tertakluk kepada prinsip pembentukan keluarga yang telah diterangkan sebelum ini iaitu perasaan tanggungjawab dan perasaan-perasaan lain yang dituntut oleh Islam. Sungguhpun dari segi perundangan, poligami boleh dilaksanakan tetapi bukan tanpa mempunyai pertimbangan lain yang dikehendaki agama. Pertimbangan ini termasuklah apa yang dikatakan oleh ahli-ahli tasawwuf bahawa tidak dinamakan seseorang itu bertaqwa sehingga ia meninggalkan yang harus untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.

Dengan sebab itu, jika sesuatu yang harus itu boleh mendorong kepada melakukan yang haram, maka seseorang yang bertaqwa akan meninggalkan yang harus itu untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.

Dalam masalah poligami, seseorang itu hendaklah menjauhi sekiranya berkahwin lebih daripada satu menyebabkan ia mencuaikan hak-hak isteri dan anak-anak yang diwajibkan ke atasnya, seperti memberi nafkah dan lain-lain. Walaupun hukum mengharuskan, tetapi ia terus menanggung dosa kerana kecuaiannya menjalankan kewajipan tediadap anak-anak dan isteri-isteri. Jika perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular, pemerintah boleh mengenakan peraturan-peraturan untuk mencegah kerosakan yang timbul daripadanya.

Penggunaan maksud keharusan berpoligami secara wajar dapat dilihat daripada contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam pertama yang dibentuk oleh baginda. Dengan penggunaan yang wajar ini, poligami bukan menjadi masalah kepada masyarakat, tetapi merupakan cara bagi menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam masyarakat iaitu pembelaan tediadap anak-anak yatim dan janda-janda yang menderita kerana kehilangan atau kematian suami.

Pada masa sekarang masalah seperti di atas masih lagi wujud dan tetap akan wujud selagi adanya manusia. Kerana itu poligami tetap berfungsi memberi kebaikan kepada masyarakat jika keharusan ini tidak disalahgunakan. Tetapi sekiranya poligami disalahgunakan dan dilakukan semata-mata untuk memuaskan nafsu dan menempah dosa, ia akan menjadi masalah dan langkah-langkah mengawalnya hendaklah dilakukan oleh pemerintah dengan mengenakan peraturan-peraturan tertentu untuk mengelak kerosakan.

Perancangan Keluarga

Beralih kepada perbicaraan mengenai perancangan keluarga. Perkara ini juga menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat. Perancangan keluarga mengandungi dua program. Pertama merancang kelahiran anak dengan menghadkan kelahiran atau membatasinya. Kedua, menyusun perjalanan keluarga untuk mencapai kesejahteraan dengan memberi perhatian kepada kebajikan, kesihatan dan keselesaan hidup keluarga serta memastikan perkembangan yang sihat dalam pertumbuhannya.

Program pertama yang bertujuan membataskan kelahiran anak itu berdasarkan teori yang dikemukakan oleh seorang ahli fikir barat yang bernama Maltus. Pada pendapat beliau, perkembangan penduduk dunia, jika dibandingkan dengan pertambahan pengeluaran bahan makanan adalah tidak seimbang. Perkembangan penduduk berjalan dengan kadar 2,4,6,8, sedangkan pertambahan bahan-bahan makanan dengan kadar 1,2,3,4. Jika perkembangan seperti ini terus berjalan, satu bencana kekurangan bahan makanan akan berlaku dan manusia akan menghadapi masalah kelaparan.

Dalam program yang kedua, kita mestilah memberi sokongan bagi menjayakan usaha membaiki keadaan kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan keluarga. Tetapi sukalah ditegaskan di sini, usaha-usaha ke arah mencapai tujuan tersebut tidak akan dicapai, sekiranya unsur-unsur akhlak dijadikan program sampingan sahaja. Suatu program yang bersifat menyeluruh hendaklah dirangka untuk mewujudkan kesejahteraan keluarga yang sebenar. Program ini, jika hendak dipercayai oleh rakyat secara berterusan tidak seharusnya dijadikan alat bagi melaksanakan usaha menghadkan kelahiran anak. Niat yang tidak jujur seperti ini akan menimbulkan akibat buruk dan kesan yang tidak sihat kepada masyarakat.

Kewajipan Dan Tanggungjawab

Seseorang yang hendak mendirikan rumahtangga hendaklah menginsafi bahawa kewajipan dan tanggung-jawab sedang menantinya. Membina keluarga bermakna bertambahnya tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Di sini digariskan beberapa tanggungjawab penting suami dan isteri di dalam rumahtangga.

Kewajipan Suami

1. Suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajipan mangawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

2. Dia wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri dia wajib menanggung biayanya. Dalam hal ini suami yang bijak awal-awal lagi akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang beragama itu, pasti dapat bekerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan beragama.

3. Pentadbiran suami di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan rahmah (kasihan belas) berakhlak dan contoh yang baik. la bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan nunahtangga adalah penting. Rasulullah s.a.W mensifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya.

4. Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah s.a.w. menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah S.W.T. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Misalnya jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita, tentulah ia akan melibatkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah s.a.w. berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik.

5. Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina keluarga. Tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumahtangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Adapun orang yang bodoh (safah) yang ditahan dari mengurus harta benda dan dirinya, tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya. Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah tidak digalakkan berkahwin, kata AI-Syafiyyah, sunat tidak berkahwin bahkan hendaklah berpuasa kerana puasa itu penahan keinginan.

Demikian juga orang yang tidak mempunyai keinginan dan hendak menumpukan perhatian kepada ibadah tidak digalakkan berkahwin. Ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mempunyai keinginan yang mampu menyediakan makan dan nafkah dan tidak pula hendak menumpukan seluruh hidupnya kepada ibadat sahaja. Menurut satu pendapat, tidak disunatkan. Menurut pandapat lain sunat ia berkahwin.

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib.

Kewajipan Isteri

Apabila suami sebagai ketua di dalam rumahtangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Menurut ulama Mazhab As-Shafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Janzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (AI Mar’ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta’al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar prihatin.

4. Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:

“Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. “

5. Isteri hendaklah taat kepada suami. Di dalam sesuatu tindakan, jangan sekali-kali membelakangkan suami, kerana dia ketua rumahtangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar. Sekiranya kerja itu untuk Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, ia mestilah menyokongnya, memberi galakan dan semangat dan menasihatinya supaya tidak berputus asa.

6. Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.

Inilah di antara kewajipan isteri terhadap suami. Apabila setiap pihak menunaikan tanggungjawab, akan berkembanglah mawaddah atau kasih sayang. Batas-batas dan tanggungjawab suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup di dalam suasana ibadah kepada Allah S.WT. Rumahtangga akan hancur jika sekiranya setiap pihak mengabaikan tanggungjawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama dengan betul, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam

Untuk mengakhiri perbincangan kita ini elok juga ditinjau sikap umat Islam hari ini terhadap perkahwinan.

Sejak kejatuhan umat Islam dari memegang teraju kepimpinan manusia, dengan kemunculan tamadun barat, ajaran Islam diusahakan supaya lenyap sedikit demi sedikit daripada kehidupan kaum muslimin. Paling tidak ia dikelirukan sehingga masyarakat Islam mengamalkan ajaran-ajaran Islam secara kesamaran. Kejahilan umat Islam teihadap agamanya, bukan kerana serangan daripada barat sahaja. Keruntuhan personaliti juga turut terlibat sehingga kecintaan kepada ilmu dan kegigihan mempelajarinya menjadi bertambah malap. Akhlak yang baik dan nilai-nilai yang mulia beransur-ansur menjadi layu dengan kemaraan nilai-nilai songsang. la mudah sahaja memenuhi kekosongan dan menguasai kelemahan yang sudah merata di kalangan masyarakat.

Keadaan yang disebutkan di atas mempengaruhi sikap masyarakat Islam dalam segenap kehidupan iaitu politik, ekonomi dan sosial, khususnya dalam kehidupan keluarga yang menjadi tajuk pembicaraan kita. Dengan lain perkataan, suasana pembentukan keluarga hari ini dan kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalamnya, bukanlah semata-mata hasil daripada serangan nilai-nilai songsang tetapi juga kerana kelemahan yang sedia wujud dalam masyarakat Islam setelah berlakunya krisis personaliti Islam dan kerenggangan nilai-nilai Islam daripada kehidupan.

Walaupun pada umumnya masyarakat kita masih menganggap perkahwinan itu suatu ikatan suci, tetapi minat untuk mempertahankan kesucian itu makin berkurangan dengan berkembangnya maksiat dan lumrahnya perzinaan. Lebih-lebih lagi perzinaan yang berlaku di kalangan orang yang sudah beristeri atau bersuami. Kerana itulah maka tujuan perkahwinan untuk menjaga kesucian (Iffah) tidak sangat diperhitungkan oleh banyak kalangan masyarakat kita. Namun begitu, tidaklah boleh dikatakan penyakit ini berjangkit kepada semua lapisan masyarakat kita. Masih banyak lagi di kalangan kita yang tetap memelihara iffah ini dan mempertahankannya. Masyarakat kita belumlah sampai kepada peringkat kerosakan seperti masyarakat barat. Tetapi jika sekiranya tidak diawasi dan langkah-langkah berkesan tidak diambil, tidak mustahil perkembangan yang meruntuhkan itu akan turut menyerang dan melanda masyarakat kita.

Bersekedudukan adalah akibat perubahan sikap terhadap perkahwinan. Perkembangan ini jika dibiarkan akan menggugat kesucian ikatan perkahwinan dan meletakkan institusi keluarga dalam keadaan yang tidak dikawal oleh peraturan dan nilai-nilai akhlak. Perkembangan ini sebenarnya merupakan masalah yang sangat serius yang tidak boleh dihadapi oleh mahkamah semata-mata., tetapi seluruh masyarakat adalah terlibat di dalam usaha mencegahnya dan kekuatan masyarakat dalam menolak perkembangan ini adalah lebih berkesan daripada hukuman mahkamah. Untuk mempertahankan kesucian perkahwinan dan keutuhan institusi keluarga yang mempunyai peraturan yang membawa kepada kesejahteraan, nilai-nilai Islam hendaklah diperkukuhkan dalam masyarakat. Untuk mencapai tujuan ini masyarakat Islam perlu membina kembali personaliti Islam supaya bertambah kukuh. Pengetahuan mengenai Islam hendaklah disebarkan dengan seluas-luasnya dan gerakan dakwah hendaklah diperhebatkan.

Masyarakat Islam hendaklah menyedari bahawa institusi keluarga dan syariat perkahwinan wajib dipertahankan kerana punca terbesar keruntuhan sesuatu masyarakat berpunca daripada kehancuran institusi keluarga dan sikap terhadap perkahwinan. Apabila keluarga telah runtuh tanggungjawab memelihara dan mengawal rakyat terserah kepada pemerintah. Sedangkan bagaimana cekap sesebuah kerajaan pun ia tidak berupaya menjalankan tugas-tugas keluarga seperti memelihara, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak. Tanpa didikan yang sempurna dan bimbingan yang wajar, anak-anak ini akan menjadi generasi yang pincang.

Kesimpulan

1 . Perkahwinan adalah cara hidup semula jadi manusia dan asas perkembangan masyarakat secara tersusun dan teratur. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam adalah menjamin penerusan perkembangan masyarakat secara sihat dan tersusun demi kesejahteraan ummat.

2. Perkahwinan adalah ikatan suci yang wajib dipertahankan. Sama ada hendak berpoligami atau tidak, pertimbangan yang adil hendaklah diberikan di samping tujuan dan roh berpoligami itu tidak dirosakkan. Dalam hal ini keharusan yang diberikan oleh Islam bukan bermakna galakan atau kebenaran yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Keharusan berpoligami bertujuan membela orang-orang yang tidak bernasib baik di dalam masyarakat. Berpoligami yang membawa kepada mengabaikan tugas terhadap anak-anak dan isteri adalah bertentangan dengan kehendak ketaqwaan.

7. Perancangan keluarga dalam pengertian menghadkan kelahiran anak tidak dapat diterima oleh Islam. Tetapi perancangan keluarga dalam pengertian memberi layanan lebih baik kepada keluarga, meningkatkan mutu kesihatan dan keselesaan hidup serta meningkatkan penglibatan terhadap amalan-amalan yang bermoral, adalah wajib di dalam Islam.


Siapa Anda Dalam Kehidupan Berkeluarga

Kita telah menjelaskan bahawa untuk memastikan suatu masyarakat itu berada dalam keadaan sihat dan harmoni, setiap keluarga yang lahir daripada masyarakat itu perlu dibina dengan kukuh kerana ia sebagai asas tertubuhnya sesebuah masyarakat.

Kita akan membicarakan siapakah yang tergolong dalam keluarga atau apakah ia definisi keluarga yang wujud dalam sistem kehidupan Islam. Adakah keluarga itu terdiri daripada suami, isteri, ibu, ayah, anak atau lebih jauh daripada itu?

Definisi keluarga dalam Islam adalah berbeza dengan definasi keluarga agama-agama lain. Di dalam Islam orang-orang yang termasuk dalam takrif keluarga adalah seperti yang terdapat dalam sistem Faraid. Cuma di sana ada keluarga yang hampir dan ada keluarga yang jauh. Oleh itu orang yang termasuk dalam keluarga ialah:

– Suami isteri
– Datuk, nenek dan seterusnya
– Ayah, datuk dan seterusnya
– Anak, cucu dan seterusnya
– Adik beradik dan zuriatnya
– Ayah saudara, ibu saudara dan zuriatnya
– Lain-lain

Setiap individu dalam keluarga mempunyai hak, peranan dan tanggungjawab. Hak seorang tidak harus diketepikan dan setiap orang boleh menuntut haknya dengan sempurna. Misalnya, hak anak mendapat pusaka daripada ayah dan ibunya, hak isteri mendapat perlindungan daripada suami, hak wanita menentukan calon suami dan sebagainya.

Setiap individu dalam keluarga mempunyai hubung kait antara satu sama lain. la tidak boleh hidup bersendirian tanpa mengambil kira orang lain. Hubungkait ini adalah termasuk dalam berbagai aspek kehidupan seperti di dalam melakukan kebaikan atau kejahatan, usaha untuk memperolehi kesenangan, menjaga nama baik keluarga dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mencipta rekod cemerlang dalam hidupnya seperti menjadi seorang pemimpin yang dihormati, masyarakat akan menyebut si pulan itu adalah keluarga si pulan itu. Begitu juga jika rekod yang dicipta itu tidak baik, masyarakat akan mengaitkan juga nama keluarganya. Contoh yang lain, apabila seseorang itu berjaya dalam hidupnya menjadi seorang yang kaya atau hartawan. Orang ini hendaklah membantu keluarganya yang miskin.

Bagi memastikan kehidupan keluarga berjalan dengan teratur dan harmoni, Islam menggariskan dengan terperinci peranan dan tanggungjawab seseorang sebagai ahli keluarga. Di dalam Islam keluarga bermula dengan suami dan isteri. Dari sinilah keluarga itu mula berkembang. Selepas itu lahirlah anak. Di sana ada ibu dan ayah mertua, ipar duai, keluarga sebelah suami, sebelah isteri dan sebagainya.

Peranan ahli keluarga

Bagaimana seseorang itu berperanan dalam hidup berkeluarga. Islam telah mengaturnya dengan lengkap dan terperinci. Seseorang itu perlu memahami dan melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab. Suami, isteri, ibu dan ayah, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Pembahagian tanggungjawab ini diatur sedemikian rupa supaya wujud suatu disiplin hidup dalam keluarga itu. Dengan itu tidak ada perebutan tugas atau tolak menolak dalam menjalankan tugas masing-masing. Oleh sebab itu keluarga muslim yang benar-benar mematuhi disiplinnya akan hidup aman, tenteram, tenang, gembira dan harmoni.

Di dalam Islam, suami atau bapa diberi peranan sebagai ketua keluarga. Dia wajib memimpin keluarganya ke jalan yang diredai Allah. Isteri dan anak-anak dikehendaki taat sepenuhnya kepada suami atau bapa. Menyediakan sara hidup juga adalah tanggungjawab ketua keluarga. Peranan yang diberikan kepada ketua keluarga ini tidak boleh disalahgunakan. Dia hendaklah bertindak sebagai penyelamat, bukan bertindak sewenang-wenangnya.

Seorang suami atau bapa hendaklah berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, berrnoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Dia hendaklah berusaha menjadikan suasana damai sentiasa wujud dalam keluarganya. Peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti suami atau bapa.

Isteri pula mempunyai peranan dan tugas yang berlainan iailu melayan dan membelai suami, mengatur rumahtangga, taat kepada suami dan mengasuh serta mendidik anak-anak menjadi insan bertaqwa. Anak wajib taat sepenuhnya kepada ibu dan ayah dalam batasan yang tidak bertentangan dengan ajaran Allah, menghormati yang lebih tua, menjaga nama baik keluarga, tidak mengecilkan hati orang tua, memberi tumpuan kepada pelajaran, menjauhkan diri daripada pergaulan yang merosakkan dan seumpamanya.

Ibu mertua pula hendaklah sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana dan hubung baik dengan menantu dan keluarganya. Hubungan antara mertua dan menantu biasanya sangat sensitif. la perlu kepada perhatian khusus dan sifat berhati-hati. Jika perasaan salah seorang tersinggung, boleh menyebabkan kerenggangan di dalam keluarga.

Beberapa peranan yang dihuraikan di atas sudah cukup sebagai penjelasan bahawa setiap individu dalam keluarga mempunyai peranan yang berlainan. Antara satu sama lain ada hubung kait yang rapat di mana setiap orang tidak boleh melepaskan diri daripada yang lain. Misalnya seorang anak apabila bertindak di luar batasan, dia akan menyusahkan dan merisaukan orang tua. Bahkan lebih jauh dari itu dia akan menjejaskan nama baik keluarga. Demikian juga perlakuan di luar batasan ini, walaupun ia dilakukan oteh keluarga yang jauh, tetap mernberi kesan kepada nama baik keluarga tersebut kerana definisi keluarga bagi orang Islam amat luas.

Kenal Pasti Diri Dan Tingkatkan Usaha

Seseorang itu perlu mengenali dirinya,siapakah dia dalam keluarga, sebagai bapa? isteri? ibu? anak? sepupu? datuk? mertua dan sebagainya. Dari semasa ke semasa perlu menyoal diri, sudahkah berfungsi sewajarnya? Sudahkah menjalankan tanggungjawab? Adakah beraksi sebagai penyumbang atau beban kepada keluarga? Sebanyak mana sumbangan dan pengorbanan telah dilakukan demi kepentingan keluarga. Banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu dipersoalkan.

Kunci penting, bagi hubungan yang kukuh sentiasa wujud di kalangan anggota keluarga, ialah rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Kalau tanggungjawab semata-mata ia akan menjadi kering dan tandus. Kalau semata-mata kasih sayang, ia boleh berubah. Maka dari itu perlu hubungan itu diwujudkan dengan rasa tanggungjawab dan penuh rasa kasih sayang. Dengan campuran ini semoga kehidupan keluarga menjadi taman indah yang didiami oleh insan-insan yang berupaya menilai dan menjaga keindahan dan keharmonian taman.

Hubungan yang baik hanya akan wujud jika sekiranya satu konsep pegangan atau aqidah yang kuat terhadap Allah terbukti dengan mengambil berat segala perintah-Nya. Dalam rumahtangga tidak ada pengawal peribadi yang mengawal seseorang sebagaimana kawalan di jalan raya.

Kepatuhan kepada Allah sahaja yang dapat mengawal tindak tanduk manusia.

Di sini jelas kepada kita agama memainkan peranan penting dalam kehidupan insan. Tanpa agama manusia akan sengsara walaupun mereka hidup dalam mahligai emas dan perak. Ia adalah perkara utama yang mesti diberi perhatian dalam membangun kehidupan sesebuah keluarga.

Ciri-ciri penting

Beberapa ciri penting adalah mustahak untuk menjadi pegangan setiap individu di dalam kehidupan berkeluarga yang mesti diberi perhatian setiap masa:

1. Sedari diri bahawa anda salah seorang ahli keluarga yang ada peranan, kewajipan dan tidak boleh melepaskan diri daripadanya.

2. Sentiasa baharui azam untuk meningkatkan pengetahuan agama, syaksiah, ilmu pengetahuan ke arah melahirkan insan berkualiti.

3. Suburkan sifat-sifat mahmudah dan kurangkan sifat-sifat mazmumah dalam amalan hidup sehari-hari.

4. Hidupkan sembahyang berjemaah, banyakkan membaca al-Quran dan hidupkan salam di kalangan keluarga.
 

PENUTUP

Peranan anda atau setiap individu dalam keluarga adalah sangat penting. Anda dan keluarga tentunya ingin bahagia dunia dan akhirat. Mereka yang berbahagia ialah mereka yang beriman, sentiasa beramal salih dan sentiasa menjadi manusia penyumbang. Bahagia sebenarnya ada dalam hati dan perasaan manusia. Oleh itu sucikanlah hati, tingkatkan iman dan jadilah insan yang bertaqwa.


Top Clicks

  • None

Jumlah Pengunjung

  • 217,908 kunjungan

RSS Saifulislam.Com

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS buat duit di internet

  • KAMBING UNTUK DIJUAL May 29, 2009
    BERITA TERGEMPAR! 20 ekor kambing sedia untuk dijual….campur2….ada betina….ada jantan….ada anak…. cadang mau jual semua sekali cara pukal RM10,000 (masih boleh dirunding)…. kalau mau amik sekor dua….boleh bagi RM300-500 ikut saiz & umor… bleh mai tgk sendiri kat kandang…tgk peta … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • Buat duit dengan cara jual e-book April 3, 2009
    Ramai orang ada idea untuk dikongsi bersama tetapi tak tau camne nak bagitau orang lain. Ramai orang ada ilmu tetapi terpendam camtu je… Ramai orang ada bakat menulis tapi tak tahu nak tulis kt mana.. Nak cetak kt SASBADI, banyak … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • KURSUS PERNIAGAAN INTERNET March 30, 2009
    ANDA BOLEH HADIRI KURSUS TENTANG: -Teknik mempromosikan produk. -Teknik menambahkan pelawat. -Teknik mencipta produk baru. -Teknik Rekabentuk Laman Web. -Teknik menghasilkan pendapatan tanpa mempunyai laman web SERTA banyak lagi Di e-webniaga.com
    shawn@hayyrie
  • NAK KAHWIN TAPI TAK CUKUP DUIT? March 30, 2009
    Kami sedia membantu anda!
    shawn@hayyrie
  • RAHSIA ClickBank Jana Lebih RM800 sebulan March 27, 2009
    Perniagaan Internet Sistem Rahsia ClickBank
    shawn@hayyrie
  • E-KAMUS PERCUMA! March 24, 2009
      Assalamualaikum dan salam sejahtera. Anda pernah dengar e-kamus? E-kamus ialah software kamus yang tercanggih yang dilengkapi dengan 18 kamus dan disertakan sebutan dalam English UK. Mudah bukan? Hanya “double click” atau “mouse move”, makna perkataan anda terjawab. Boleh digunakan … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • RM10 SETAHUN WEB HOSTING TERMURAH DI M’SIA March 24, 2009
    shawn@hayyrie
  • Peluang Bisnes SMS Lumayan! March 24, 2009
    Kalau selama ini anda terpaksa mengeluarkan wang untuk menghantar sms, tetapi dengan  OwnSmsBiz  anda akan memperolehi pendapatan apabila anda menghantar SMS dan anda juga akan merima pendapatan apabila orang menghantar SMS kepada anda!!!         OwnSmsBiz adalah bisnes yang berasaskan internet … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • Peluang Cari Duit Melalui Pay Per Lead (PPL) Affiliate March 24, 2009
      Anda akan dibayar RM0.25 bagi setiap orang yang mendaftar di pakej Master Resell ini. Program pay per lead ini akan ditutup apabila target list mencapai sasaran. SIGN UP PERCUMA Bayaran akan dibuat pada awal bulan. Di bawah ini disertakan … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • DOWNLOAD E-BOOK DAPAT DUIT March 20, 2009
    shawn@hayyrie

RSS Dr. Hasanah

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.