Mujahid & Mujahidah Ansarullah

oleh: Mohd Khairi Bin Tajudin

Sedar atau tidak, sudah lebih satu dekad aku meninggalkan alam persekolahan. Sekolah yang telah mengajarku membaca, menulis, mengira dan mentaakul. Sejak dari zaman pra- sekolah hingga ke sekolah menengah, guru-guru telah mendidikku menjadi insan yang kamil. Hampir separuh daripada usia remajaku dihabiskan di dalam kelas. Sudah habis berbatang-batang pen serta pensel dan juga berbuah-buah buku aku gunakan untuk menulis. Sudah banyak buah buku teks yang telah aku khatam.

Sekarang aku kembali ke alam persekolahan semula. Bukan untuk menjadi pelajar tetapi sebagai pengajar. Bermula pagi hingga ke tengah hari aku mendidik manusia kecil supaya menjadi manusia yang berhati besar. Sebelah petang aku mendidik anak-anak ayam dan itik supaya pandai mencari makan untuk cepat membesar. Begitulah rutin manusia mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Teringat kata-kata seorang pelakon dalam filem tahun enam puluhan, “selagi belum tutup mata, kerja,kerja,kerja!”.

Dahulu, apabila guru masuk ke kelas, pastinya aku dan rakan-rakan akan mengucapkan “selamat pagi, cikgu!” atau “good morning, teacher!”. Sekarang, apabila aku melangkah masuk ke kelas, murid-murid akan mengucapkan “assalamualaikum, ustaz!”. Walaupun aku bukan ustaz, tetapi gelaran ustaz itu ditujukan untuk semua guru lelaki yang mengajar di sekolah agama rakyat.

Rutin separuh hari dikelilingi murid-murid membuatkan kenangan zaman persekolahan aku kembali segar. Guru tidak segan-segan untuk menghadiahkan aku sebatang rotan seandainya tidak menyiapkan kerja rumah dan aku tidak pula berdendam dengan mereka. Zaman sekarang, jika amalan itu dipraktikkan, mungkin mengakibatkan tayar kereta guru itu dibocorkan atau guru itu diheret ke mahkamah. Budak-budak jika dimanja-manja itulah padahnya!.

Suatu hari, tatkala aku melayari sebuah laman sosial popular atas talian, aku terbaca coretan seorang rakanku berkenaan kenangan di alam sekolah rendah. Bersama-sama coretan itu, dia memuat naik sekeping gambar rakan-rakan sekelas sewaktu darjah empat yang diambil bersama guru kelas. Tergelak aku tatkala merenung wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Lagi-lagi aku tergelak apabila melihat wajahku sendiri!.

“Wajah kecil yang dahulunya nakal, sekarang membesar menjadi manusia berguna kepada masyarakat. Terima kasih cikgu! Jasa kalian tidak terbalas,” itulah antara bait-bait coretan rakanku di ruangan tersebut.

Memori yang sudah bertahun-tahun lamanya tersimpan di dalam cakera keras otakku mula aku rungkai satu per satu. Memori seawal zaman sekolah tadika mula bertandang perlahan-lahan. Masih terbayang sebuah bangunan dua tingkat, di atasnya surau, di bawahnya tadika walaupun sekarang ini strukturnya telah diubah.

Setiap pagi emak akan menghantar aku ke sekolah itu yang terletak seratus meter dari rumah datukku. Lama-kelamaan, emak membenarkan aku untuk pergi seorang diri dengan berjalan sahaja kerana aku belum mempunyai basikal. Oleh sebab murid-murid sampai lebih awal daripada guru, aku dan beberapa orang rakan mula memikirkan sesuatu.

“Man, macam mana kita nak masuk ni? Cikgu Azizah belum sampai lagi.” tanya aku kepada Abdul Rahman.

“Aku ada satu idea!,” kata Abdul Rahman.

“Idea apa?” tanyaku pula.

Abdul Rahman belum menjawab soalanku. Dia bergerak menghala ke sebuah tingkap yang tidak ada cermin, yang tinggal hanya besi. Melalui celahan besi itu, dia berjaya meloloskan diri lantas membuka pintu dari sebelah dalam.

“Hore! Boleh masuk!” jerit kami.

Setelah Cikgu Azizah sampai, dia tidak memarahi kami. Mungkin dia sudah faham perangai kanak-kanak seperti kami.

“Okay murid-murid, hari ini cikgu akan ajar kamu mengenal huruf. Ikut cikgu ya!” kata Cikgu Azizah.

“Ae (A) … bi (B) … si (C)…” kami menyebut beramai-ramai ketika Cikgu Azizah menunjukkan huruf-huruf itu.

Selepas satu huruf berganti huruf yang lain. Selepas satu nombor berganti nombor yang lain. Guru juga mengajar untuk mengenali sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar makhluk ciptaan Allah.

Terima kasih cikgu!

 

 

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya dari New Delhi, India ke Raiwind, Pakistan. Perjalanan seawal pukul 4 pagi menaiki bas ekspres berhawa dingin dan diiringi oleh dua trak polis telah berjaya merentas sempadan dua buah negara bergolak. Semuanya dengan izin Allah s.w.t. kerana tanpa izinnya satu zarah pun tidak dapat bergerak walaupun dengan satu gerakan. Subhanallah!

Sepanjang perjalanan aku duduk di sebelah seorang ahli jemaah dari Tokyo. Ketika itu, dia baru sepuluh bulan memeluk Islam. Selepas melafazkan kalimah attoyyibah, dia terus melibatkan diri dalam usaha dakwah. Dia begitu bersemangat untuk mengamalkan sunnah Nabi. Di samping kepala yang tidak lekang dengan kopiah, gamis dan celana putih juga turut membaluti tubuhnya. Imej Jepunnya hanya dapat kulihat pada seliparnya kerana dia masih memakai selipar Jepun. Sudah banyak doa-doa harian yang telah dihafal dan diamalkan. Walaupun nama di dalam pasport antarabangsanya masih mengekalkan nama asal dalam bahasa Jepun dan gambar tanpa janggut tetapi dia sangat merendah diri dan senang dipanggil Mohd Soleh. Aku sangat berbangga bertemu seorang daie dari Jepun di mana dia adalah seorang di antara 16 ribu umat Islam yang telah diberi hidayat oleh Allah daripada 30 juta rakyat Jepun.

“Bagaimana awak boleh memeluk Islam?” tanyaku kepadanya dalam bahasa Inggeris.

“Saya telah diperkenalkan kepada Islam oleh seorang lelaki Pakistan yang berniaga di sana, ”jawabnya.

“Oh! Bagaimana awak tergerak hati untuk berada dalam jemaah ini dan sampai ke sini?” Aku bertanya lagi.

“Sahabat Pakistan saya itu mencadangkan kepada saya untuk belajar tentang iman dan Islam di sini,” jawabnya lagi.

“Baguslah jika begitu. Saya juga mempunyai matlamat yang sama seperti awak, ” kataku.

Sesekali aku terfikir betapa bertuahnya manusia yang Allah pilih untuk diberi hidayat. Dalam jutaan umat Islam yang ada di seluruh pelusuk muka bumi ini, berapa kerat sahaja yang bersyukur dengan nikmat Islam yang telah sekian lama dianuti. Ramai orang Islam yang menjadi Islam disebabkan baka dan keturunan tetapi Mohd Soleh ini menjadi Islam kerana dipilih oleh Allah.

***

Kami selamat tiba di Masjid Raiwind pada waktu antara Maghrib dan Isyak. Ketibaan kami disambut dengan penuh gembira oleh orang tempatan di sana. Kami kemudian dibawa ke tempat penginapan tetamu untuk bersiap-siap bagi menunaikan solat Isyak. Setelah selesai solat, aku terus tidur kerana terlalu letih.

***

Sepanjang di sana, kami memenuhi ruang-ruang waktu yang ada dengan bertukar-tukar fikiran dengan tetamu-tetamu dari pelbagai negara. Dalam ramai-ramai tetamu luar yang ada, aku tertarik dengan cerita dari seorang ahli jemaah yang datang dari Amerika Syarikat. Dia menerangkan kepadaku bahawa dakwah Islam tengah berkembang di negaranya dan setiap hari beratus-ratus rakyat Amerika memeluk Islam. Kenyataannya itu telah membuatkan aku begitu teruja. Selama ini kita disogokkan dengan cerita-cerita yang negatif tentang Amerika. Jiwa kita begitu marah kerana Amerika telah membunuh ramai umat Islam di Iraq dan Afghanistan. Lantaran itu kita terus menghukum bahawa apa sahaja yang mempunyai label Amerika semuanya jahat dan kafir sedangkan kita tidak tahu keadaan yang sebenarnya.

Aku masih ingat peribahasa Melayu ada menyebut “marahkan nyamuk kelambu dibakar”. Mungkin pepatah itu sesuai untuk menggambarkan bahawa kita begitu beremosi dan gagal menilai dengan adil mengenai Amerika dan rakyatnya.

Dia terus menerangkan kepada kami bahawa negara Amerika dan rakyatnya adalah dua entiti yang berbeza. Memang betul pemimpin Amerika yang bukan beragama Islam itu tidak berhati perut tetapi pada masa yang sama majoriti rakyatnya tidak menyukai keganasan.

Rakyat di sana mempunyai etika dan kesedaran sivik yang tinggi walaupun majoriti masih belum beragama Islam. Mereka juga mempunyai minat tentang pembangunan rohani dan sentiasa tercari-cari satu cara hidup yang membebaskan mereka dari kekangan arus kemodenan yang sedang mereka hadapi. Sebab itulah apabila Islam mula bertapak dalam hati mereka, maka mereka akan memegangnya bersungguh-sungguh.

Perbualan kami dengannya serba sedikit membuka ruang dan dimensi baru dalam minda dan benak kami. Fikiranku mula berfikir tentang kebesaran Allah. Di saat umat Islam di negara-negara Islam tidak mahu beramal dengan ajaran Islam, orang kafir di negara kafir pula yang berminat dengan Islam. Pernyataan ini hanya bermanfaat bagi insan yang mahu berfikir.

***

Ketika di sana juga kami telah dibawa bertemu dengan seorang ulama, Maulana Jamsheed. Hampir menitis air mataku melihat beliau sedang terbaring di atas katil kerana terlalu uzur. Dalam keadaan begitupun beliau masih mampu memberi sedikit suntikan rohani dengan bersemangat sekali.

“Allah telah melapangkan masa tuan-tuan datang ke sini untuk belajar-belajar mencapai kesempurnaan agama dalam kehidupan. Hargailah masa-masa ini dan janganlah terlepas mengutip mutiara-mutiara sepanjang jalan Allah.”

Inilah antara bait-bait pesanan beliau yang masih aku ingati.

***

Keesokan hari, kesemua ahli jemaah termasuk dari luar dan orang tempatan dikumpulkan untuk pembahagian kumpulan. Aku dan rakan-rakanku dari Malaysia seramai lima orang telah ditempatkan bersama tujuh ahli jemaah warga Pakistan di dalam satu jemaah. Kami telah diputuskan untuk ke Battagram

Perjalanan dari Raiwind ke Battagram mengukir sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami bersesak-sesak di dalam bas tanpa pendingin hawa yang memulakan perjalanan pada pukul 7.00 petang. Pada permulaannya perjalanan agak selesa sambil menghirup udara segar bumi Pakistan. Papan tanda dalam tulisan Urdu terpampang di simpang-simpang jalan. Sejuk mata memandang melihat muslimin lengkap memakai kurtah dan celana di mana-mana sahaja. Tidak kelihatan wanita-wanita keluar melainkan mereka memakai pakaian hitam berhijab yang sempurna dan ditemani lelaki yang menjadi mahram mereka. Aku inginkan suasana begini di bumiku Malaysia tercinta.

Apabila matahari hampir terbenam di ufuk barat, kami melihat para muslimin membentangkan tikar di kawasan-kawasan rehat dan rawat sementara menanti untuk bersolat Maghrib. Bas kami juga berhenti di sebuah musolla untuk memberi laluan kepada semua penumpang menunaikan rukun Islam yang kedua itu.

Selesai makan, kami meneruskan perjalanan mengharungi lebuhraya menuju ke daerah Peshawar yang berbukit bukau. Dalam kedinginan malam, Allah turunkan hujan dengan lebat sehingga tempiasnya hinggap di wajah-wajah kami. Semakin lama semakin lebat. Hujan menitis masuk melalui bumbung bas yang bocor lalu menitik ke atas tempat duduk penumpang. Beberapa orang penumpang terpaksa bangun dan berdiri kerana kebasahan. Sampai di suatu tempat, bas terpaksa berhenti kerana mengalami kerosakan brek dan enjin. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Tiada apa yang mampu dilakukan selain berzikir dan merayu kepada Allah supaya perjalanan kami dapat diteruskan. Barulah aku teringat bahawa selama di Malaysia aku tidak pernah menaiki bas seperti ini tetapi aku jarang bersyukur dengan nikmat itu.

Alhamdulillah, lebih kurang sejam selepas itu bas yang lain pun datang mengambil kami. Kami terpaksa menukar kenderaan kerana bas yang uzur itu sudah tidak dapat berkhidmat lagi. Setelah solat subuh pada pukul 4.00 pagi kami meneruskan perjalanan sehingga ke Marsela. Tiba di Marsela, kami berhenti di sebuah masjid untuk berehat dan khidmat diri. Di sini, kami mendapat layanan yang istimewa sebagai tetamu.

Setelah matahari sudah naik sepenggalah, amir jemaah memanggil semua ahli jemaah untuk bermesyuarat bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Terdapat orang tempatan di situ menyediakan sebuah van dan bersedia menghantar kami ke sana.

Perjalanan diteruskan dengan meredah bukit-bukau yang sungguh indah. Semakin tinggi udara semakin segar dan suhu semakin nyaman. Sesekali aku terpesona melihat beberapa ekor unta yang ditunggang. Aku bertanya kepada sahabat-sahabatku yang lain,” Di sini pun ada unta. Bagaimana unta boleh datang ke sini?”

“Bukankah dulu para Sahabat telah menyebarkan Islam sehingga ke sini? Jadi unta-unta yang ada sekarang ini datang dari Tanah Arablah”, jelas salah seorang sahabatku yang bernama Solihin, pemuda 20 tahun dari Pahang.

Amir jemaah menerangkan kepada kami bahawa jalan yang kami lalui ketika ini menuju ke Guangzhou, kira-kira 30 jam dari Rawalpindi. Tercatat di dalam sejarah, para Sahabat telah menyebarkan dakwah hingga ke Canton. Aku cuba membayangkan kesusahan para Sahabat merentas banjaran-banjaran dengan hanya mengenderai unta tatkala belum ada jalan berturap. Dalam kepayahan, kepenatan dan kelaparan sebahagian dari mereka telah syahid di jalan Allah. Semoga Allah merahmati mereka.

***

Semalaman di sebuah masjid besar di Battagram, kami tidur dalam kedinginan yang amat tetapi tetap bangun sebelum hadir fajar sodiq kerana waktu subuh berkunjung seawal pukul 4.00 pagi. Hampir menggeletar tubuhku diulit kedinginan pagi.

“Bagaimana nak ambik wuduk ni? Sejuk yang amat,” kataku kepada Iskandar, seorang hafiz Al-Quran yang berasal dari Teluk Panglima Garang, Selangor.

“ Inilah peluang nak dapat pahala banyak, ” jawabnya.

“ Mujurlah aku beli khuf ni semasa di Raiwind dulu, boleh pakai jadi penebat sejuk,” kataku sambil memakai khuf, sejenis stokin yang diperbuat dari kulit selepas selesai wuduk.

Bayan subuh seperti biasa mengisi kekosongan hati selepas solat Subuh sehingga matahari muncul di puncak bukit. Sungguh hebat ciptaan Allah. Gunung-ganang dicipta sebagai pasak bumi manakala sungai-sungai mengalir di lembah-lembahnya untuk pelbagai kegunaan. Melihat air sungai yang begitu jernih, aku teruja untuk terjun mandi di situ tetapi sehingga matahari terpacak di atas kepala, suhu sekitar masih lagi sejuk.

“Tuan tahu tak ketinggian yang kita duduk sekarang ni?” Tanyaku kepada seorang Pakistani di dalam jemaah kami.

“Kita berada pada paras 1000 kaki dari paras laut,” jawabnya begitu yakin.

Masyaallah,” terpancar zikir itu dari lidahku.

Selepas makan, kami dipasangkan secara berdua-dua untuk menziarahi penduduk-penduduk setempat. Aku dipasangkan bersama Bai Ali untuk menziarahi para peniaga dan pengunjung di pasar berhampiran. Bai Ali meminta aku bercakap dalam bahasa Inggeris dan dia menterjemahkannya ke dalam bahasa Urdu.

Ketika aku mula bercakap, ramai peniaga dan pengunjung mengerumuniku. Akhirnya semua peniaga di pasar tersebut menghentikan perniagaan mereka, menutup pintu kedai dan kesemua yang berada di situ duduk bersila di hadapan kami. Sungguh aku teruja dengan situasi sebegini dan aku tidak melihatnya selain di Pakistan. Mereka kulihat begitu berminat dengan setiap tazkirah yang disampaikan walaupun tidak begitu memahaminya.

“Adakah kalian sedia menginfakkan harta, diri dan masa untuk belajar-belajar berdakwah?” tanyaku untuk mengakhiri ucapan.

Insyaallah!” sahut mereka semua.

“Anda semua dijemput ke masjid kerana kita akan adakan majlis pada malam ini,” Bai Ali mempelawa mereka semua.

***

Selepas solat Isyak, sementara menunggu makan malam, aku berdiri di serambi masjid sambil melihat kebesaran Allah di sekelilingku. Malam itu kabus begitu tebal sehingga aku dapat menggapainya tetapi tidak melekat di tangan. Setelah kabus itu hilang barulah aku nampak bintang di langit. Aku teringat sabdaan Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya bahawa sahabat-sahabat baginda ibarat bintang-bintang di langit. Sesiapa yang mengikuti mereka pasti tidak akan sesat.

Baginda juga pernah memberitahu Saidatina Aisyah r.a. bahawa amalan Saidina Umar ibarat bintang-bintang di langit. Maka Saidatina Aisyah r.a. bertanya pula tentang bagaimana dengan amalan bapanya? Lantaran itu Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa satu malam Saidina Abu Bakar menemani baginda dalam gua ketika peristiwa hijrah lebih utama daripada setiap malam Saidina Umar dan ahli keluarganya.

Siapakah yang sanggup menemani seseorang yang sedang diburu untuk dibunuh?

 

PENULIS: MOHD KHAIRI BIN TAJUDIN

Assalamualaikum teman-teman yang dikasihi. Alhamdulillah bersyukur kita kerana masih berkesempatan bertemu bulan Ramadhan yang penuh berkah…bulan keampunan, dan bulan rahmat.

Allah telah mewajibkan kita semua berpuasa sebagaimana Ia telah mewajibkan kepada orang2 sebelum kita dari kalangan Ahlul Kitab, seperti dalam firmanNya: “Hai orang2 yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas oarng2 sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” [Al Baqarah: 183]

Antara perkara yang perlu diamalkan semasa berpuasa adalah bersahur. Dari ‘Abdullah bin Harits, dari seorang shahabat Nabi SAW dia bercerita: “Aku pernah masuk menemui Nabi SAW, sedang beliau tengah sahur seraya berucap: ‘Sesungguhnya sahur itu berkah yang diberikan oleh Allah kepada kalian, janganlah kalian meninggalkannya.’ ”

Dan sebaik-baik makanan ketika sahur adalah kurma. Mudah-mudahan kita dapat amalkan sunnah bersahur dan juga dapat mengambil ibadah sunat yg lain seperti qiamullail dan solat terawikh. Dan jangan lupa untuk menjaga lidah dari bercakap yang sia-sia apatah lagi mengumpat yang menambah dosa. Semoga kita dapat mendidik hati daripada segala sifat mazmumah dan mengamalkan sifat mahmudah serta berusaha menjadi hamba yang bersyukur.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua anda berada. Sama-sama kita berusaha untuk melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Berhati-hatilah menjaga hati…kerana di situlah pandangan Ilahi.

Kepada sesiapa yang selalu mendengar ruangan motivasi pagi di IKIM, mungkin ada yang pernah dengar berkenaan tajuk ini. Saya begitu tertarik untuk berkongsi mutiara ilmu yang diperolehi dengan para pembaca sekalian. Saya tak dapat nak tulis semula seperti apa yg telah disampaikan oleh penyampai slot tersebut, cuma saya ingin memberi sedikit pandangan untuk dikongsi bersama.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ” Di dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi jika buruk dan kotor daging itu, maka buruklah seluruh anggota badannya.Daging yang dimaksudkan itu ialah hati” (Rw: Bukhari & Muslim)

Sebagaimana jasad perlukan makanan untuk mendapat tenaga, begitu jugalah dengan hati. Hati juga perlu mendapat santapan rohani agar ia sentiasa mengingati Allah, bermotivasi, tenang dan bersih dari bintik2 hitam dan noda. Kita juga perlu menggilap hati agar ia menjadi cekal, tabah, berani dan redha.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.”
(Q.S. al-Syura ayat 88-89)

Sebagai manusia biasa, kita inginkan kehidupan yg sempurna dan bahagia. Tetapi hakikatnya tidak semua yg kita impikan akan kita perolehi. Apabila Allah tidak mengizinkan apa yg kita kehendaki itu berlaku, kita mestilah bersabar dan redha dengan ketentuan Allah. Dan kita mesti ingat bahawa setiap apa yg berlaku pasti ada hikmah yg tersembunyi. Nasihat utk diri saya juga yg sering alpa dan lalai. Yang sering merasa resah dan hati tidak tenang. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita utk mendidik hati menjadi baik… InsyaAllah.

Memaafkan orang lain adalah memaafkan diri sendiri

Sidang pembaca yg dihormati sekalian, seringkali kita mendengar ungkapan maaf dilontarkan sekiranya seseorang telah melakukan kesalahan sama ada kesalahn kecil mahupun besar. Tetapi adakah kita mudah memaafkan orang atau sebaliknya?

Mengikut kajian oleh pakar psikologi, di rumah orang sakit jiwa adalah mereka yang terdiri dari kalangan orang yang bakhil. Bakhil yg dimaksudkan di sini ialah bukan kedekut memberi harta atau pertolongan kepada orang lain tetapi mereka yang enggan memberi maaf. Mereka keras hati dan sangat ego untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Ada yang sanggup mengatakan “Aku takkan maafkan kau sampai mati”..Orang yang sebegini sebenarnya merasakan diri mereka lebih besar dan tinggi diri. Sedangkan manusia itu hanyalah hamba dan Allah lah yang lebih berkuasa dari sekalian makhluk.

Orang yang sukar memaafkan org lain sebenarnya mereka hanya akan memudharatkan diri mereka sendiri kerana mereka hanya menyimpan dendam yang tak berkesudahan. Jika kita memberi maaf, dengan mudahnya perasaan marah itu akan padam. Kita harus ingat, sedangkan Allah Yang Maha Bekuasa itu pun masih boleh mengampuni dosa hamba-hambaNya, apatah lagi kita hanya manusia yang lemah dan hina ini.

Sekeras mana hati kita, perlulah difikir dengan rasioanal dan akal yang waras untuk membuat pertimbangan. Mungkin agak perit bila mengenangkan kesalahan yg dilakukan oleh sahabat/ suami/ isteri kita, namun jika mereka telah meminta maaf, maka maafkanlah.

Sesungguhnya memberi maaf itu satu sifat yang terpuji lagi mulia. Walaupun orang yang melakukan kesalahan tidak meminta maaf kepada kita, alangkah eloknya jika kita memaafkannya lebih dulu.

Orang yang suka memendam kemarahan dan dendam akan mengalami tekanan perasaan yang amat serius. Mereka seolah-olah menyimpan bahan bakar dalam diri mereka yang boleh meletus bila-bila masa. Bayangkan jika kemarahan itu telah mencapai kemuncaknya, mungkin mereka akan melakukan tindakan yang tidak terkawal lagi seperti membunuh, atau mencederakan orang lain tanpa mengira sesiapa sahaja. Malah mereka juga akan bertindak membunuh diri sendiri.

Nauzubillahiminzaalik..mudah-mudahan kita dijauhi daripada sifat yang sedemikian.

Sama-samalah kita menanamkan sifat mudah memberi maaf agar kita juga memaafkan diri kita sendiri. Amalkan sebelum tidur, kita maafkan semua orang agar orang lain juga mudah memafkan kita. Erti bahagia itu dengan memberi..maka Memberilah..walau pun sekadar “memberi maaf”

Sekian, wassalam

Petikan dari motivasi pagi IKIM

Derhaka Dalam Taat

Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud ‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan ‘derhaka dalam taat’.

Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.

Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)

Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:

1. Amal Yang Tidak Sempurna

Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.

Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari tetapi derhaka di siang hari.

2. Cuai Dengan Amalan Batin

Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan  batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.

Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan; Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.

Seorang manusia yang telah selesai melalkukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.

Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.” (An-Nisa’: 173)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).

Petikan dari Solusi

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum dan Salam kasih sayang buat pengunjung sekalian. Sama-sama kita panjatkan kesyukuran kpd Allah swt atas segala kurniaan Nya kepada kita. Selawat dan Salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah atas kesempatan waktu yang dikurniakan. Rasanya belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh Malaysia.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada guru-guru yang telah mendidik saya di Tadika Lubuk Merbau, Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau, Sekolah Menengah Lubuk Merbau, Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Kolej MARA Kulim dan juga pensyarah2 yang dihormati di Universiti Malaysia Pahang.  Semoga Allah sahaja yang layak membalas segala jasa baik kalian.

Hanya doa yang dapat kupanjatkan buatmu guru, semoga Allah ampunkan segala dosa guruku dan semoga Allah merahmatimu wahai guru.

Top Clicks

  • None

Jumlah Pengunjung

  • 216,826 kunjungan

RSS Saifulislam.Com

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS buat duit di internet

  • KAMBING UNTUK DIJUAL May 29, 2009
    BERITA TERGEMPAR! 20 ekor kambing sedia untuk dijual….campur2….ada betina….ada jantan….ada anak…. cadang mau jual semua sekali cara pukal RM10,000 (masih boleh dirunding)…. kalau mau amik sekor dua….boleh bagi RM300-500 ikut saiz & umor… bleh mai tgk sendiri kat kandang…tgk peta … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • Buat duit dengan cara jual e-book April 3, 2009
    Ramai orang ada idea untuk dikongsi bersama tetapi tak tau camne nak bagitau orang lain. Ramai orang ada ilmu tetapi terpendam camtu je… Ramai orang ada bakat menulis tapi tak tahu nak tulis kt mana.. Nak cetak kt SASBADI, banyak … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • KURSUS PERNIAGAAN INTERNET March 30, 2009
    ANDA BOLEH HADIRI KURSUS TENTANG: -Teknik mempromosikan produk. -Teknik menambahkan pelawat. -Teknik mencipta produk baru. -Teknik Rekabentuk Laman Web. -Teknik menghasilkan pendapatan tanpa mempunyai laman web SERTA banyak lagi Di e-webniaga.com
    shawn@hayyrie
  • NAK KAHWIN TAPI TAK CUKUP DUIT? March 30, 2009
    Kami sedia membantu anda!
    shawn@hayyrie
  • RAHSIA ClickBank Jana Lebih RM800 sebulan March 27, 2009
    Perniagaan Internet Sistem Rahsia ClickBank
    shawn@hayyrie
  • E-KAMUS PERCUMA! March 24, 2009
      Assalamualaikum dan salam sejahtera. Anda pernah dengar e-kamus? E-kamus ialah software kamus yang tercanggih yang dilengkapi dengan 18 kamus dan disertakan sebutan dalam English UK. Mudah bukan? Hanya “double click” atau “mouse move”, makna perkataan anda terjawab. Boleh digunakan … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • RM10 SETAHUN WEB HOSTING TERMURAH DI M’SIA March 24, 2009
    shawn@hayyrie
  • Peluang Bisnes SMS Lumayan! March 24, 2009
    Kalau selama ini anda terpaksa mengeluarkan wang untuk menghantar sms, tetapi dengan  OwnSmsBiz  anda akan memperolehi pendapatan apabila anda menghantar SMS dan anda juga akan merima pendapatan apabila orang menghantar SMS kepada anda!!!         OwnSmsBiz adalah bisnes yang berasaskan internet … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • Peluang Cari Duit Melalui Pay Per Lead (PPL) Affiliate March 24, 2009
      Anda akan dibayar RM0.25 bagi setiap orang yang mendaftar di pakej Master Resell ini. Program pay per lead ini akan ditutup apabila target list mencapai sasaran. SIGN UP PERCUMA Bayaran akan dibuat pada awal bulan. Di bawah ini disertakan … Continue reading →
    shawn@hayyrie
  • DOWNLOAD E-BOOK DAPAT DUIT March 20, 2009
    shawn@hayyrie

RSS Dr. Hasanah

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.