Tips Elakkan Kemalangan
Posted by: achiksolehah on: November 25, 2009
Keadaan cuaca yang kurang baik sekarang ini menggalakkan berlakunya kemalangan. Saya yakin semua orang sudah tentu tidak mahu terlibat dengan kemalangan jalan raya sama ada kemalangan teruk atau ringan. Oleh sebab itu kita perlulah berhati-hati semasa memandu. Saya juga pernah terlibat dengan kemalangan yang ringan namun ia juga melibatkan kos untuk membaiki kenderaan semula. Apa yang berlaku atas kesilapan saya sendiri. Saya harap sesiapa juga jangan ambil mudah perkara ini. Di sini saya kongsikan bersama pembaca tips mengelakkan kemalangan. Mudah-mudahan bermanfaat untuk semua.
- Pastikan segala alat pada kenderaan berfungsi dengan baik sebelum memulakan perjalanan. Dapatkan nasihat daripada mekanik kereta yang berpengalaman mengenai keadaan kenderaan anda. Jika ada alat-alat yang tidak berfungsi dengan baik, gantikan dengan yang baru.
- Pastikan brek, minyak brek dan lampu brek berada dalam keadaan yang baik. Pemeriksaan ke atas sistem brek penting bagi memastikan kenderaan anda dapat berhenti dengan baik ketika berlaku kecemasan.
- Pastikan semua tayar kereta anda berfungsi dengan baik dan boleh digunakan, termasuklah tayar ganti. Periksa bunga tayar dan tekanan angin dalam tayar kereta anda.
- Pastikan lampu utama, lampu isyarat dan sistem pendawaian elektrik kereta anda berfungsi dengan baik.
- Periksa pengelap cermin (wiper) kereta anda. Jika permukaan pengelap berkenaan tidak mampu menyapu air pada kaca cermin, gantikan dengan yang baru. Atau jika perlu, gunakan pengilat cermin untuk mengelakkan cermin menjadi kelabu apabila hujan.
- Pastikan minyak klac, air radiator, hon, ekzos, air bateri, tali kipas, tangki air, saluran paip, paras mnyak enjin dan tali pinggang keselamatan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan dan selamat untuk digunakan.
- Sebelum memandu bacalah doa naik kenderaan dan bertawakkal kepada Allah serta minta perlidungan dari Nya.
- Jangan memandu laju dan bersikap suka berlumba-lumba. Sesuaikan kelajuan mengikut keadaan cuaca, lalu lintas, cara pemanduan, penglihatan dan keadaan kereta anda.
- Sentiasalah mematuhi segala peraturan lalu lintas dan papan tanda keselamatan jalan raya.
- Elakkan daripada melakukan aktiviti-aktiviti lain semasa memandu seperti menggunakan telefon dan merokok kerana konsentrasi anda boleh terganggu. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya kepada pemanduan di jalan raya.
- Jika anda rasa letih dan mengantuk ketika memandu, berhenti untuk berehat. Jangan meneruskan perjalanan jika anda berada dalam keadaan sedemikan kerana ia boleh membahayakan perjalana anda.
- Jika anda ingin membelok ke kiri dan kanan atau berhenti, tunjukkan niat anda dengan menggunakan tanda isyarat yang betul. Pastika anda menggunakan lampu isyarat kenderaan anda untuk sebarang tindakan.
- Berwaspadalah sentiasa di persimpangan jalan.
- Amalkan sikap bnersopan santun dengan pengguna jalan raya yang lain. Jangan mengikut perasaan dan emosi anda.
- Anda perlulah merancang perjalanan anda lebih awal. Rancang laluan dan peruntukan masa perjalanan anda bagi mengelakkan anda tergesa-gesa sewaktu pemanduan.

Sayangi kereta anda...huhuhu
Recent Comments